...CABARAN BAHASA MELAYU DALAM ERA GLOBALISASI...

NEGARA TELAH melangkah ke alaf baru empat tahun lalu. Dan pada tahun 2020 Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju, meninggalkan tarafnya sebagai negara membangun. Perhitungan ini banyak disandarkan kepada pembangunan fizikal dan terlalu sedikit kepada asas-asas jiwa dan penjiwaan, kualiti hidup dan jati diri bangsa.

Kita, misalnya, sentiasa mengukur pencapaian mengikut KDNK, pertumbuhan ekonomi sebenar, ketinggian bangunan yang kita bina dan lain-lain pencapaian fizikal. Pada tahun 2020, iaitu sekitar 15 tahun dari kini tentunya serba-serbi berjalan pantas. Kehidupan masyarakat Malaysia, seperti yang diramal, akan dipenuhi pembaharuan demi pembaharuan. Teknologi informasi dan komunikasi pada masa itu akan secanggih mungkin. Cara hidup kita di Malaysia dan juga di merata dunia akan turut berubah.


Kita sedang diterap dan dicorakkan oleh nilai-nilai dan amalan dunia global dengan hebatnya. Segala macam ilmu pengetahuan akan lebih pantas diperolehi. Cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup, semuanya akan berubah. Banyak penyakit yang tidak terubat pada masa ini mungkin beroleh penawar yang mujarab di zaman itu. Atau sebaliknya, masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu, akan lebih terdedah kepada unsur-unsur baru.

Unsur-unsur ini tidak semestinya membina jati diri atau yang membina bangsa yang dikehendaki kerana proses yang ada pada masa itu ialah yang sesuai dipanggil osmosis di mana proses nilai kuat lagi berpengaruh menyedut nilai lemah yang kurang berpengaruh. Salah satu yang bakal disedut melalui proses osmosis itu nanti ialah menerusi pencabulan bahasa, kebudayaan dan cara hidup yang mencorakkan sifat kemelayuan mereka. Pandangan yang cenderung ke arah fenomena ini mungkin akan dipertikai tetapi pada amatan kebanyakan pemerhati ianya pasti berlaku.


Seperti yang telah disaksikan kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah banyak mengubah cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah hidup dengan komputer dan internet. Orang kini mengirim berita pantas melalui e-mail dan sms – dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui internet. Perkataan terbaru sering memasuki perbendaharaan kata kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih dahulu. Istilah Infotenmen, misalnya, yang menimbulkan kontroversi dalam penggunaan istilah bahasa Melayu juga merupakan satu istilah baru yang dipertikaikan walaupun Menteri Penerangan telah menghujahkan alasan-alasan penggunaannya di Parlimen. Hiburan, berita dan maklumat, kebanyakannya disajikan oleh media sampai terus ke bilik tidur dengan nisbah yang lebih ketara daripada yang disajikan secara tempatan. Alat-alat canggih pengguna dipasarkan secara meluas lalu menggantikan peralatan lama. Bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu separuh Inggeris, di kalangan sektor swasta pertuturan adalah lebih kurang 70% dalam bahasa Inggeris dan hanya 30% dalam bahasa Melayu, itu pun adunan bahasanya dalam keadaan lintang-pukang seolah-olah sekerat ular sekerat belut. Dan secara ketara, pendidikan negara mulai disalut dengan kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu bahasa Inggeris.
Nisbah perkataan baru yang di ceduk dari bahasa Inggeris lalu jadi sebahagian bahasa rojak kita. Dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita. Bersediakah kita mempertahankan diri agar jati diri dan kesinambungan bina bangsa terjamin? Sebenarnya soalan ini tidak akan dapat dijawab secara tepat dan kalau dijawab pun ianya belum pasti akur kepada apa yang mungkin terjadi.
Jika diamati generasi muda Melayu di pusat-pusat Bandar, akan tersua amalan asas mereka. Mereka leka dengan perkelilingan baru — keluarga, hiburan, sukan, tempat kerja dan tumpuan-tumpuan hidup yang lain lantas dipengaruhi unsur-unsur global yang telah dipopularkan melalui media, dagangan antarabangsa dan hiburan muzik serta wayang gambar hollywood dan bollywood. Mereka kian lama kian jauh dari apa yang dahulunya boleh dikesan sebagai belia Melayu. Sementara itu golongan Korporat Melayu cuba berlumba-lumba mendapatkan hak mereka dari “kuih” ekonomi yang ada, sekali pun tahap yang dicapai setakat ini masih di paras 18%. Jelaslah 12% lagi masih di awangan dan belum menepati janji serta aspirasi kita yang digurindamkan pada tahun 1971 dahulu.



Dalam perkelilingan beginilah masyarakat Malaysia hidup di negara ini. Dan dalam perkelilingan beginilah kita kembali memperkatakan nasib bahasa Melayu (BM). Cuma kali ini ditambah sedikit dengan kaitannya dengan senario global. Sebenarnya memperkatakan tentang bahasa Melayu hakikatnya ialah kita memperkatakan satu-satunya aspek asas orang Melayu itu sendiri. Survival bahasa Melayu di peringkat yang maju dan beridentiti lantas juga mencerminkan bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Cuma bangsa Malaysia adalah igauan politik yang hendak dicapai tetapi Bangsa Melayu sudah ada dan nyata.

Kebelakangan ini sudah begitu banyak pihak memperkatakan tentang Bahasa Melayu. Tetapi boleh dikatakan kesemuanya membuat rungutan atau dengusan yang negatif tentang keadaan terumbang-ambing beberapa aspek bahasa Melayu itu. Dari tahun 1999 hingga 2003 terdapat secara rambang sekitar 94 rencana utama termasuk kertas-kertas simposium dan konvensyen yang memperkatakan tentang bahasa Melayu dari pelbagai sudut dan aspek. Tajuk-tajuk yang digemari ialah masalah bahasa rojak; keupayaan bahasa Melayu dalam dunia moden, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, kemampuan bahasa Melayu sebagai lingua franca di kepulauan Melayu, bahasa Melayu dalam konteks pembudayaan bahasa persuratan, kelunturan bahasa Melayu dan pelbagai lagi tajuk pokok yang kesemuanya menyentuh tentang pusaka perhubungan Melayu ini. Malangnya tiada satu pun di antara rencana-rencana itu yang memuji atau memberi markah tinggi kepada usaha memperkasakan bahasa Melayu. Sebenarnya usaha memperkasakan Bahasa Melayu semacam sudah dilupai, seolah-olah seperti bidalan terpijak pergi terlanda pulang. Boleh juga dikatakan bahawa piel atau sikap yang ada ialah sikap tangkap muat atau taking things for granted dalam kiasan bahasa Inggerisnya.

Bahasa Melayu dalam era global adalah suatu tajuk yang sangat mencabar dan penuh permasalahan. Ia berkait rapat dengan soal jati diri orang Melayu dan bangsa Malaysia amnya. Ia juga suatu masalah pembudayaan yang amat berat dan rumit. Tajuk ini walaupun pernah dibincangkan dalam beberapa polemik yang terdahulu lebih banyak menimbulkan masalah daripada jawapan. Ini adalah kerana bahasa Melayu itu sendiri sedang menghadapi cabaran dan rintangan yang hebat di dalam negara sendiri. Bercakap pasal bahasa Melayu di era global semestinya memerlukan kita membincangkan terlebih dahulu beberapa isu bahasa secara domestik. Jika tidak, perbincangan kita semacam belum tegak sudah berlari.
Bahasa sebagai alat komunikasi antara manusia mempunyai berbagai-bagai fungsi. Ia berfungsi mengungkapkan konsep, gambaran dan menjelmakan perbuatan. Ia berfungsi menyampaikan kehendak mental. Ia berfungsi mengungkapkan perasaan, rasa hati dan gerak hati. Pendeknya sesuatu yang bermain-main dalam fikiran kita dapat kita ungkapkan melalui bahasa.

Dengan bunyi glottal atau vokal manusia melahirkan bunyi itu. Pengalaman begini memakan masa dan merentas zaman. Perkataan baru sebelum diterima pakai sebagai sebahagian bahasa sesuatu masyarakat itu mengalami ujian ‘penerimaan’ atau ‘penolakan’. Proses menerima atau menolak ini bergantung kepada sekuat mana jati diri bangsa penuturnya. Jika lemah maka lebih banyaklah kata-kata yang diimport sekalipun di dalam himpunan kata-kata bangsa sudah sedia ada kata-kata sendiri.
Sesuatu yang bermain-main dalam fikiran secara umumnya disebut bayangan dan secara khususnya disebut sebagai citra dalam Bahasa Sanskrit dan atau imej dalam alih Bahasa Inggeris. Citra atau imej muncul dalam bentuk simbol atau perkembangan. Misalnya apabila kita berfikir tentang kuda, kita menuturkan sebagai kuda atau menulisnya dalam istilah-kata "Kuda". Ertinya setelah membayangkan konsep "kuda" dalam fikiran, kita jelmakan ianya dalam bentuk lisan atau tulisan sebagai kuda.

Bahasa (kata istilah dan konsepnya) cukup penting dalam mengungkapkan tahap-tahap ilmu yang tertentu. Dalam hierarki mempelajari sesuatu ilmu, wujud empat tahap keilmuan. Ilmu yang terbawah ialah ilmu empirikal (misalnya - ilmu sains dengan berbagai-bagai cabang ilmunya), diikuti tahap yang paling tinggi iaitu ilmu rasional ( ilmu falsafah dan ilmu pemikiran kreatif), ilmu laduni (intuitive knowledge) iaitu ilmu terus daripada Allah dan ilmu tertinggi ialah ilmu makrifat yakni ilmu tentang Ilahi yang merupakan ilmu yang tertinggi dalam hierarki ilmu.Setiap tahap ilmu mempunyai kata, istilah dan konsepnya yang tersendiri. Misalnya bahasa yang di ungkapkan pada tahap ilmu empirikal adalah bahasa saintifik. Bahasa saintifik membawa pengertian bahasa yang logik yakni yang berfungsi dan bersifat tersendiri tetapi yang melibatkan erti tepat. Dalam konteks inilah sayang sekali konsep tepat pengertian dan tepat penghasilan tidak didalami sebelum kita mengaku kalah lalu bahasa Melayu tidak mampu menjadi wahana sains dan matematik.
Isu-isu bahasa :
Pada amnya terdapat 7 isu pokok yang berkaitan bahasa Melayu dalam konteks bina bangsa (nation building):i. Masalah penjiwaan bahasa Melayuii. Masalah bahasa rojakiii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa Melayuiv. Utiliti atau sifat perlu-guna bahasa Melayuv. Unsur-unsur dan amalan yang merosakkan bahasa Melayuvi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963vii. Perubahan dasar bahasa ilmui.

Penjiwaan bahasa: Bagi tempoh tahun-tahun 1960’an Isu bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan menjadi perkara hangat dan isu yang membakar semangat perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Bahasa Jiwa bangsa sesungguhnya sebahagian dari jiwa nasionalisme orang Melayu. Begitu penting dan utama bahasa Melayu sehingga UMNO sendiri menerapkannya ke dalam fasal 3 perlembagaannya tentang bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Sementelahan pula istilah Melayu itu sendiri mengikut Perkara 160 Perlembagaan negara mewajibkan seseorang itu berbahasa Melayu selain beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu sebelum layak diiktiraf sebagai seorang Melayu. Kempen Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah pimpinan Tuan Syed Nasir Ismail masih diingati sebagai yang terhebat dan berkesan.

Secara rambang keutuhan bahasa Melayu tidak banyak dipertikaikan sehingga 1986. Bahasa Melayu itu sendiri mengalami edaran zaman dan evolusi. Sistem ejaan, kerjasama penyeragaman Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia, penulisan novel, cerpen dan penyemarakan bahasa menjadi amalan biasa sehingga apabila menjelang tahun 1985 penulisan novel, cerpen, sajak terus beroleh tempat di kalangan pembaca. Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai semenjak 1959 hingga awal 1980’an terus menjadi kilang guru bahasa Melayu yang berkesan dan disegani. Kini ianya cuma jadi sejarah. Penekanan kepada bahasa Melayu dari sudut perguruan khusus sudah kurang mendapat perhatian.

Bila pengkhususan pengajaran bahasa berkeadaan sedemikian, maka hasil penjiwaannya juga turut berkurangan. Sastera Melayu, penulisan kreatif Melayu, bahasa Indah Melayu dan pada amnya pembudayaan bahasa Melayu turut merana. Bila jiwa sudah lemah dalam sesuatu amalan, maka aspek praktisnya juga turut lemah. Lemahnya penjiwaan adalah terasas kepada tuntutan perkelilingan. Lemah penjiwaan ini hanya dapat diatasi dan diperkukuh semula jika hala tuju jiwa bangsa tadi bersedia memungut yang cicir, mencari yang hilang. Jika polemik hanya tertumpu kepada hujah yang secara asasnya tidak yakin kepada bahasa ibunda sendiri sebagai bahasa ilmu tentulah ubat yang dicari tidak akan menyembuhkan penyakit. Penyakit lama akan hinggap kembali. Kini orang Melayu tak pandai sangat berkata halus lagi. Antara “Hi” dan “Hello” dan “showtime” pepatah-petitih sudah dilupai. “Apa khabar” juga sudah dipulas oleh Assalamualaikum. Perumpamaan Melayu semacam menjadi pusaka murah. Buku Kiliran Budi dan Ilmu Mengarang Melayu karya Pendeta Za’ba sudah disaluti habuk kerana tidak dirujuk lagi. Kita menerpa dan melompat ke hadapan tanpa menyusun langkah. Di sinilah barangkali tepat dikatakan: “koyak baju kerana lenggang; pesuk songkok kerana lonjak”. Kerosakan ini semua adalah akibat badan yang buruk pinta. Rangkap lama mengingatkan kita:
Jangan disalai ciku kedondong
Salailah ikan atas para
Jangan salahkan ibu mengandung
Salahkan badan yang buruk pinta.

ii. Masalah bahasa rojakKini kita sudah diserang penyakit campur-aduk seperti yang disebutkan di atas. Penyakit campur-aduk inilah yang menyebabkan berkembangnya bahasa rojak. Bahasa rojak wujud dalam sesuatu ayat yang diselang-selikan dengan bahasa asing sehingga campurannya itu semacam hidangan rojak. Hanya yang berbeza ialah rojak lebih sedap dimakan tetapi bahasa rojak menyebabkan kita sakit telinga mendengarnya dan paling parah, bangsa Melayu malu dipalunya.

Awal-awal lagi boleh diperakukan, mencedok perkataan asing untuk dimuatkan ke dalam sesuatu ayat bahasa Melayu memang tidak dihalang, malah memang benar seperti kata-kata Pendeta Za’ba dalam buku klasiknya Ilmu Mengarang Melayu bahawa dalam bahasa Melayu sedia terdapat sekian banyak perkataan yang asalnya adalah dari pelbagai punca: Sanskrit, Inggeris, Portugis, Belanda, Parsi, Arab, Cina dan sebagainya. Tidak perlu bagi saya menyatakan perkataan-perkataan itu kerana umum sudah pun mengetahuinya.
Paling mudah bagi kita mendengar melalui radio atau TV sekarang ungkapan-ungkapan seperti “e-mail”, “sms” “internet”, “software”, “hardware”, “ISDN”, “html”, “computer” “website” dan sebagainya. Sekarang pun kita secara harian mendengar dialog seperti berikut:

“Hei, hari ini birthday I lah”
“Dalam hal ini you yang paling best”
“How are you today...harap OK lah”
“You dah breakfast kah”
“Hei, kawan-kawan, it’s showtime”
“Inilah showtime yang ori…”


Ungkapan-ungkapan dalam dialog ini dipetik dari siaran radio dan TV kita. Di kaki lima dan di kedai kopi dialog generasi muda begitu juga. Warga emas juga diheret sama. Jelas tiada pengawasan oleh pihak-pihak tertentu sehingga berterusan wujudnya bahasa rojak dalam kehidupan kita sehari-hari. Di samping pengawasan di media barangkali boleh dilakukan, tetapi ianya sukar dikuatkuasakan terhadap individu yang sudah memilih tatabahasa yang baru untuk bercakap antara seorang dengan seorang yang lain. Jika diamati, contoh-contoh ini boleh dituruti oleh ratusan contoh lain yang rata-rata membuktikan bahawa bahasa lisan kita sudah rosak keunggulannya. Sebaliknya bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil tidak tertarik dengan amalan campur-aduk ini ke tahap yang dialami bahasa Melayu. Yang merunsingkan ialah kepekaan dan rasa prihatin masih belum tertera di pemikiran yang bertanggung jawab di bidang penggunaan bahasa.

Ada beberapa petua sebelum masyarakat harus membenarkan bahasanya dirasuk bahasa rojak yang tidak indah dan tidak mencerminkan jati diri. Pihak yang mengatakan bahawa apa salahnya diambil perkataan asing, sedangkan perkataan-perkataan asing sudah pun dipinjam semenjak beratus-ratus tahun dahulu lagi. Ini memang boleh diterima tetapi peminjaman itu berasas kepada beberapa syarat dan ketertiban demi menjaga keutuhan bahasa Melayu:i. Istilah atau perkataan baru itu bolehlah diambil jika tiada perkataan yang sama maksudnya dalam bahasa Melayu; Jika dalam bahasa sendiri ada perkataan yang sesuai, kenapa kita perlu tiru hak orang? Dalam pengertian ini, misalnya kita tak perlu ambil birthday sedangkan hari jadi atau hari kelahiran ada dalam bahasa Melayu.
Showtime boleh diganti dengan masa persembahan atau saat persembahan; ori dengan asli;ii. Peniruan atau pengambilan kata perbendaharaan orang lain harus menambah ilmu dan jati diri kepada masyarakat.iii. Pihak pengembang dan pemaju bahasa ibunda harus bertindak dan membetulkan sesuatu ungkapan atau perkataan yang dirasakan menceroboh bahasa sendiri. Malangnya kuasa membetulkan ini tiada pada sesiapa atau mana-mana pihak pada masa ini.

Manakala siaran pantas dari satelit atau multimedia yang lain bertambah pesat, seperti yang laksanakan Astro pada masa ini, kita dapat bayangkan betapa besar dan dahsyatnya kemungkinan pencabulan berlaku di bidang-bidang lain kehidupan kita.
Secara amnya kita terdedah dan terlalu terbuka kepada anasir-anasir luar. Mekanisme penahanan atau mengehadkan penerapan luaran ini tidak cukup ada pada kita sekalipun agama itu tampaknya patut lebih berkesan sebagai penangkis.Apabila bahasa berubah dan diubah soalan yang muncul ialah: siapa yang ubah dan kenapa? Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa ianya diubah sedemikian cara kerana penuturnya berasa bahasa ibundanya tidak lagi cukup untuk melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa menggunakan perkataan-perkataan asing. Sebaliknya mereka mungkin beranggapan bahawa imej yang mereka perolehi dengan menyelitkan perkataan Inggeris di celah-celah ayat Bahasa Melayu akan meninggikan imej mereka walaupun ini tentunya berupa pendekatan bersifat makjujad (hypocrite); atau dengan bahasa Melayu rojak mereka berasa boleh mencapai kepuasan berkomunikasi; atau, dan ini penting, mungkin asuhan bahasa Melayu mereka di sekolah tidak sampai ke tahap mantap. Juga terdapat di beberapa kalangan, termasuk pemimpin yang tidak berpendidikan aliran Inggeris, lantaran mereka rata-rata dianggap tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, mereka cuba menyelitkan sepatah dua perkataan Inggeris dalam perbualan dengan tujuan supaya orang menganggapnya boleh speaking atau ‘tinggi’ tahap pendidikannya.

Walaupun gejala ini barangkali kecil bilangannya, boleh diperakukan bahawa ianya wujud nyata di kalangan masyarakat kita.Sebenarnya ungkapan sekerat belut-sekerat ular tadi:
“Hei, hari ini birthday I lah” boleh dituturkan sebagai “Hei, hari ini hari jadi saya (aku)lah”. Semua ungkapan di atas tadi boleh belaka dituturkan secara Melayu 100%. Tetapi kenapa tidak dilakukan sebegitu? Ini semua adalah petanda yang bakal membawa kepada kelunturan. Ini bukan sekadar ramalan seorang idealis atau yang semata-mata bersifat tulen tak menentu, tetapi pandangan ini bertapak pada alam nyata:
Sekilat ikan di air, sudah tahu jantan betina
Kilat beliung ke kaki, kilat cermin ke muka.
Jika demikian cara dan kaedah yang paling berkemungkinan untuk menangani bahasa rojak yang memuramkan imej bahasa kita ialah dengan menjayakan program-program latihan lisan yang membina amalan komunikasi. Ia harus dijalankan di semua institusi persekolahan dan pengajian tinggi.
Personaliti media utama, pemimpin, institusi kawalan kerajaan harus mengutamakan percakapan bahasa Melayu yang betul. Gejala bahasa rojak tidak akan hapus kerana pembudayaan bahasa ibunda belum wujud sepenuhnya di negara ini. Jati diri tidak dikaitkan dengan pentingnya bahasa ibunda dipersadakan.iii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa MelayuDari segi bahasa, bahasa Inggeris sudah nyata akan merobah cara berfikir dan juga cara bertindak di samping cara menimba ilmu serta jenis ilmu yang bakal ditimba.
Akan wujud sekian ramai anak Melayu yang nanti berfikir dalam bahasa Inggeris kemudian bercakap dalam bahasa Melayu. Malah bermimpi dalam bahasa Inggeris juga kebiasaan. Juga akan ada anak-anak masyarakat Cina dan India Malaysia yang bercakap dalam bahasa Melayu dan berfikir dalam bahasa Cina dan India. Sekarang pun kecenderungan ini sudah berlaku. Juga tidak dapat dinafikan bahasa Mandarin dan Tamil akan beroleh tempat yang lebih signifikan melalui langkah-langkah pembudayaan bahasa mereka.

Oleh kerana bahasa perisian pada masa itu rata-rata Inggeris, Bahasa Melayu akan disadur banyak oleh terma-terma dan sintaksis Inggeris. Penutur bahasa Melayu mesti bersedia untuk perubahan-perubahan ini. Mereka yang bersifat sebagai pengamal keaslian (purist) mungkin akan berduka kerana bahasa lama akan secara perlahan menghilang, struktur dan gaya baru pula akan muncul.Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dijamin di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Ia juga bahasa rasmi Parlimen Malaysia. Status ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Cuma kemajuan dan kepesatannya mungkin terjejas akibat dasar mengglobalkan bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Melayu.
Bila ini berlaku, Bahasa Melayu tetap menyusul dari belakang kerana dari segi keutamaan global bahasa Inggeris beroleh keutamaan. Peranan dan posisi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dari sudut ini tidak akan meningkat tanpa peningkatan industri buku yang seharusnya diperjuangkan.Bahasa Melayu, seperti yang telah diketahui, akan lebih terdedah kepada pelbagai pindaan informal yang dicetuskan oleh dan melalui media elektronik, khususnya oleh pengaruh komunikasi serta aliran alam siber. Dalam erti kata sebenar, cara hidup baru itu nanti bakal merubah pemakaian tatabahasa Melayu.

Seharusnya, bibit-bibit budaya yang indah, yang halus, yang murni perlu dikekalkan tetapi berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bermakna kita tidak minta dibuli atau dipijak. Ini termasuklah asuhan Islam positif yang perlu dibudayakan terus-menerus. Khususnya dalam hal ini nilai-nilai yang dijalin dan disajikan melalui Islam Hadhari akan lebih diminati. Amalan Islam yang mengambil kira tamadun yang berevolusi, konsep dan amalan budi-bahasa, amalan tradisi Melayu seperti sopan-santun, kekeluargaan, hormat-menghormati dan sebagainya akan lebih membimbing. Pendeknya mesti diteruskan apa yang selama ini dikenali sebagai “asuhan budi”. Barangkali falsafah “Rukunegara” yang membentuk masyarakat Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh disemarakkan semula. Kejuruteraan sosial (social engineering) tidak boleh dihentikan atau dicanai oleh pemikiran seseorang sahaja. Satu muafakat bangsa mesti diadakan. Mewujudkan Kementerian Kebudayaan kesenian dan Warisan hanya sebahagian daripada usaha ke arah itu. Di samping Bangsa Malaysia hendak diwujudkan, soal adab dan tamadun tidak harus dikelasduakan. Bahasalah menjadi penjalin dan penjana bangsa.iv. Utiliti atau sifat perlu guna bahasa Melayu adalah lumrah manusia iaitu jika sesuatu itu tidak berapa menepati tuntutan kegunaan atau utilitinya, perkara atau barang itu akan kurang disimpan, kurang dipakai dan kurang keperluannya.
Dalam satu aspek bahasa Melayu mungkin tergolong kepada keadaan ini jika bahasa ilmu terus menerus disalur oleh bahasa Inggeris. Tetapi hakikat yang satu lagi ialah bahawa bahasa Melayu masih diperlukan sebagai syarat lulus dan cukup syarat dalam peperiksaan dengan kelulusan dalam bahasa Melayu. Lagipun sebagai lingua franca negara ini BM akan tetap digunakan sebagai wahana komunikasi. Sebagai bahasa ilmu BM dikhuatiri tidak akan terlalu membangun kecuali dasar pembukuan negara diubah dengan erti kata semua teks ilmu moden dan usang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Tetapi soalnya, sekalipun buku-buku aeronautik, kimia, kaji cuaca, kejuruteraan, elektronik dan lain-lain diterjemahkan, siapa akan baca lantaran buku-buku ini dengan mudah diperolehi dalam bahasa Inggeris, bahasa yang dipelajari di sekolah untuk menimba ilmu. Di sini sudah jelaslah kedudukan BM sebagai bahasa ilmu.

Sebaliknya pula jika anak-anak Melayu tidak berlumba-lumba pula untuk menguasai bahasa Inggeris, mereka akan tercicir terus dalam usaha menimba ilmu semasa. Keadaan serba-salah ini sebenarnya tidak harus digusarkan. Ini adalah kerana jika zaman moden dunia hendak disertai oleh warga Malaysia melalui kebangkitan global, bahasa Inggeris tidak dapat dinyahkan lagi. Ini bererti sekian banyak istilah bahasa Inggeris akan menerpa masuk kepada perbendaharaan kata BM. Bahasa rojak akan berterusan dituturkan dan dilaungkan.
Mungkin dalam bahasa tulisan sedikit sagu hati akan diperolehi kerana nahu semasa akan terus digunakan. Sebagai perbandingan, bahasa Arab juga menghadapi permasalahan yang sama. Mereka belum mampu menimba ilmu moden dengan bahasa ibunda mereka. Justeru saban tahun sekitar 20,000 mahasiswa dalam pelbagai jurusan sains mengaji di universiti dan institusi pengajian tinggi Barat yang bahasa pengantarnya ialah Inggeris.

v. Unsur-unsur yang merosakkan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu yang dituturkan pada hari ini, selain melalui ucapan, ialah bahasa yang ditulis dan dijadikan sebagai wahana komunikasi surat-menyurat. Sementara keadaan bahasa Melayu lisan boleh dikatakan dalam keadaan kurang memuaskan berbanding BM tulisan, beberapa sebab dapat diperhatikan:

a. kurang latihan pertuturan yang baik yang melibatkan anak-anak sekolah, mahasiswa dan petugas awam.
b. Kurangnya asuhan melibatkan bahasa indah dan cara berfikir objektif dalam pembahasaan dan pertuturan.
c. Kurangnya asuhan bahasa baik, bahasa indah.
d. Kurangnya latihan atau mata pelajaran berkaitan karya-karya besar sastera bangsa sendiri.
e. Pembelajaran dalam bidang the Arts yang tidak disaring dan dikemas.
f. Kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa atau pembahasaan sebagai satu bidang kajian atau mata pelajaran.

Sementara itu amalan-amalan di peringkat pimpinan, kepegawaian dan urusan-urusan rasmi juga dilihat orang sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi dan merumitkan penggunaan BM yang baik. Jika bahasa mesyuarat juga bercampur-aduk dengan selingan bahasa rojak, bagaimana penggunaan bahasa baik dapat dicapai? Sementara itu akhbar Utusan Melayu berkeadaan mati segan hidup tak mahu lantaran orang Melayu sendiri bersikap dingin terhadap tulisan Jawi.
Menurut pihak berkuasa di syarikat Utusan, akhbar yang pada satu masa dulu berfungsi sebagai pencetus nasionalisme Melayu kini sudah jadi edisi sekali seminggu. Itu pun dengan jualan yang kurang dari 7,000 naskhah seminggu. Ini memalukan. Jika dicari di mana hilangnya, jika dipintas di mana hanyutnya, puncanya ialah pembelajaran bangsa.

vi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963Cinta rakyat kepada Bahasa Kebangsaan meluap-luap sehingga mereka yang mulanya memperleceh Bahasa Kebangsaan akhirnya diam dan mula segan dan hormat terhadap bahasa ibunda orang Melayu itu. Pada tahun 1963 Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan Parlimen. Akta itu hanya sekadar mengisytiharkan peruntukan Perkara 152 perlembagaan Persekutuan. Ia tidak memperuntukkan sebarang provisi penalti terhadap sesiapa yang mencabul bahasa atau yang tidak mengamalkan penjiwaan bahasa, umpamanya. Malah jika terdapat penggunaan bahasa pada iklan papan tanda, Dewan Bahasa dan Pustaka, misalnya, tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menasihatkan pihak yang berkenaan.
Apabila Singapura merdeka dari Persekutuan Malaysia pada 1965 Bahasa Melayu lantas dijadikan bahasa rasminya. Banyak pihak beranggapan bahawa Akta bahasa Kebangsaan 1963 adalah tulang belakang kepada maju atau mundurnya bahasa Melayu. Pada satu hakikat ini mungkin benar tetapi pada pengertian khususnya Akta ini hanya bersifat deklatori, yakni menyatakan apa yang sudah jelas dan nyata daripada hal bahasa Melayu itu. Sebaik-baiknya beberapa pindaan harus dilakukan dalam usaha memberi sedikit kuasa penguatkuasaan kepada satu-satunya agensi bahasa di negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Penguatkuasaan yang dihajati benar ialah apabila disuai penggunaan yang telah disalahgunakan, DBP tidak boleh berbuat apa-apa sedangkan di Perancis, misalnya, Biro Bahasa Perancis di bawah Kementerian Kebudayaan berkuasa membetulkan sesuatu penyelewengan bahasa Perancis. Fenomena “pencapaian dan kecapaian” pada tahun 1996 seharusnya boleh diatasi dengan segera oleh DBP tetapi lantaran ketiadaan peranan yang jelas dari segi membetulkan bahasa yang disalahgunakan, anggota masyarakat bermaharajalela dengan pembahasaan salah. Kesalahan bahasa papan tanda juga sedemikian.
vii. Perubahan dasar:
Benarkah ia melemahkan Bahasa Melayu?Pada suatu hakikat memang boleh diterima bahawa dasar 2002 yang mewajibkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran matematik dan sains merobah satu lagi pancang seri yang selama ini menjadi kebiasaan dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut di Sekolah Kebangsaan.
Tetapi realiti perkara ini memerlukan penilaian objektif dan bukan subjektif. Sebelum anjakan dasar ini dibuat dua tahun lalu, keciciran anak-anak Melayu dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains memang ketara sedangkan penguasaan sains dan matematik di kalangan bukan Melayu berada di tahap baik. Ini adalah kerana pengajaran bahasa Inggeris di SRJK lebih mantap dan berkesan sedangkan di Sekolah Rendah Kebangsaan adalah di sebaliknya. Pencapaian sains dan matematik di sekolah-sekolah berbahasa Mandarin, sebaliknya, terus meningkat. Ini disebabkan kualiti pengajaran menyumbang kepada pencapaian anak-anak di SRJK.
Justeru sampai kini sekolah-sekolah ini enggan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran sains dan matematik. Tetapi pencapaian mereka di bidang-bidang berkenaan terus meningkat sekalipun pencapaian bahasa Inggeris mereka cuma di peringkat sederhana.Apa akan berlaku jika amalan lama tidak dianjak? Pertama anak-anak Melayu akan terus berada di tahap lama, mereka akan terus lemah pencapaian B Inggeris, sains dan matematik.

Sekurang-kurangnya bahasa Inggeris mereka selepas ini akan bertambah baik lantas secara teorinya mereka akan lebih profisyen dan boleh menimba ilmu lain dengan lebih mudah. Tetapi ini bergantung kepada kualiti pengajaran bahasa itu kepada murid-murid. Ini bergantung kepada kualiti para guru itu sendiri. Jika kualiti pengajarannya melonjak maka pencapaian di kedua-dua subjek itu juga akan turut melonjak. Dalam hal ini pendekatan paling baik ialah mewujudkan kumpulan pengajar yang fasih dan berilmu tinggi.

Peranan Maktab Perguruan Bahasa tidak boleh dipandang ringan.Juga akan berlaku ialah bahasa Melayu akan kekurangan peranan dalam pengajaran dua ilmu tersebut. Dari satu sudut ini kenampakan sebagai suatu kerugian tetapi dari segi sebenar jika diimbangi ia boleh menjadi rangsangan baru. Tetapi bahasa Melayu tidak boleh dianggap bahawa lantaran bahasa Inggeris dipilih untuk menyegarkan pengajian matematik dan sains maka BM akan terus lemah dan menghilang. Ini merupakan sikap mengalah dan pesimis.
Rumusan TindakanTampak sebagai penting iaitu penggunaan bahasa Melayu perlu dijana semula dan dikempenkan semula. Para pengucapnya mesti dalam keadaan sedar (conscious) selalu supaya megah dan berasa senang berbahasa Melayu dengan baik. Sekolah, universiti, agensi-agensi Kerajaan, NGO dan kumpulan-kumpulan lain harus bersekutu dan bekerjasama memperjuangkan kembali perkara nasional yang amat penting ini.Banyak bidang yang boleh terus diperjuangkan: meningkat dan memperhebatkan dasar buku nasional; menerbitkan buku-buku bermutu dunia dan serantau; meningkatkan kerjasama bahasa serantau; mengamalkan dasar cintakan bahasa sastera, sesungguhnya bermacam-macam projek bahasa boleh diteruskan. Dengan lain pengertian, pembudayaan bahasa perlu diusahakan terus-menerus.

Kesimpulan boleh dibuat pada peringkat ini, iaitu kita tidak harus terus berasa hilang tenaga dalam menghadapi cabaran global. Untuk menghalang bahasa Melayu daripada diselangi perkataan dan nilai luar secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi yang berterusan.
Asas pendidikan kita harus kuat. Pendekatan kita demi BM zaman depan mesti bersandar kepada situasi menang. Untuk itu pembudayaan bahasa harus nyata.Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, “Lorong Touch ‘n Go”. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja yang memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah “Lorong pacu segera” atau “Lorong tekan & pacu” Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan “touch ‘n go” Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch ‘n go. Tepuk dada, tanya selera.

No comments:

Post a Comment